Wednesday, October 31, 2012

Keluhan pelanggan emas


SAYA adalah seorang daripada puluhan ribu pelanggan Genneva Malaysia Sdn. Bhd. yang diserbu oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

Saya terpanggil menulis untuk memberitahu sebab-sebab kenapa saya dan mungki
n ramai yang lain memilih untuk membeli emas daripada syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd.

1. Saya beli emas, saya dapat emas, bukan dapat kertas.

2. Genneva memberi hadiah atau 'hibah' (berlandaskan syariah) atas nilai belian emas tadi mengikut tempoh akad yang dipersetujui bersama.

3. Tiada paksaan. Selepas tamat tempoh akad, saya boleh perbaharui akad atas kerelaan sendiri. Saya juga boleh menawarkan kepada Genneva untuk menjual semula emas itu kepadanya atas harga yang dipersetujui bersama, malah saya boleh menjual emas itu kepada sesiapa saja atau di mana saja yang saya suka kerana emas itu adalah milik saya.

4. Proses jual beli adalah telus, ada perjanjian jual beli (S&P) dan mengikut prinsip Al-Bai serta syariah.

Sebagai orang Islam, saya kagum dengan Genneva Malaysia Sdn. Bhd. kerana selain berusaha menerapkan nilai Islam dan prinsip syariah dalam urus niaganya, Genneva Malaysia telah membantu meningkatkan kualiti hidup kira-kira 70,000 keluarga di seluruh Malaysia! Bayangkan jika setiap keluarga ada lima ahli, ini bermakna jumlah isi rumah yang menikmati hidup berkualiti hasil daripada membeli emas dan memperolehi hibah daripada Genneva, adalah kira-kira 350,000 orang.

Sejak Genneva Malaysia Sdn. Bhd., mula beroperasi, Genneva Malaysia tidak pernah gagal memberi hibah kepada pelanggan-pelanggannya, walhal pemberian hibah itu hanyalah atas budi bicara dan ihsan syarikat itu semata-mata.

Hakikatnya, hibah inilah yang telah membantu kira-kira 70.000 orang menyara keluarga, membiayai kos perubatan, membiayai persekolahan anak-anak termasuklah yang belajar di universiti di dalam mahupun di luar negara tanpa mengira bangsa, agama mahupun ideologi politik.

Ramai yang mampu melangsaikan hutang bank, kad kredit dan macam-macam lagi perbelanjaan yang disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup saban tahun.

Malangnya, apabila Bank Negara dan beberapa agensi kerajaan menyerbu Genneva Malaysia Sdn. Bhd. dan merampas peralatan pejabat, rampas emas milik pembeli serta membekukan akaun bank Genneva pada 1 Oktober lalu, maka 70,000 pelanggannya yang menikmati hibah setiap bulan selama ini, menjadi bingung kerana hilang punca pendapatan menerusi hibah bulanan yang dinikmati selama ini.

Dalam kata lain, Bank Negara dan agensi-agensi berkaitan telah menyekat pemberian hibah oleh Genneva Malaysia Sdn. Bhd. kepada kira-kira 70,000 pelanggannya.

Akibatnya mereka kehilangan sumber pendapatan yang membantu menyara keluarga mereka selama ini.

Memang benar Bank Negara bertanggung jawab untuk menjaga kepentingan orang ramai. Tapi bagaimana 70,000 pelanggan Genneva Malaysia?

Bukankah mereka juga orang ramai dan rakyat Malaysia?

Jika benar bentuk perniagaan jual beli emas Genneva ini menyalahi undang-undang, kenapa pihak berkuasa mengambil masa begitu lama untuk bertindak, hingga pelanggannya di Malaysia saja sudah mencecah 70,000 orang, wujud cawangan di seluruh negara, malah model perniagaannya telah berkembang ke rantau Asia Tenggara.

Lebih menyedihkan, alasan tindakan Bank Negara dan agensi-agensi terbabit menyerbu Genneva Malaysia adalah sangat rapuh iaitu Genneva Malaysia hanya disyaki melanggar peraturan-peraturan di bawah kawal selia agensi-agensi berkaitan.

Jika hanya disyaki sahaja, memadailah membuat lawatan atau pemeriksaan mengejut dan jika ada asas, beri amaran keras dan beri tempoh kepada Genneva Malaysia untuk betulkan mana-mana bahagian yang tidak betul.

Setidak-tidaknya, kepentingan 70,000 pelanggan Genneva Malaysia tidak terjejas.

Memandangkan Genneva Malaysia telah beroperasi agak lama dengan jumlah pelanggan yang besar, ada baiknya Bank Negara dan agensi-agensi lain membantu para pelanggan Genneva daripada 'menghukum' mereka.

Benarkan Genneva kembali beroperasi dengan segera, pulangkan harta (emas) mereka (rakyat) yang dirampas, cairkan akaun bank Genneva Malaysia dengan kadar segera supaya syarikat itu boleh meneruskan ihsan pemberian hibah kepada para pelanggannya.

Kemudian regularize model perniagaan Genneva ini. Kenakan syarat tertentu dan rangka garis panduan supaya orang ramai lebih jelas. Ini lebih 'membantu' daripada mengambil tindakan 'menghukum' dan bersifat 'menganiaya', yang sebenarnya berpunca daripada kelemahan dan ketidakupayaan Bank Negara dan agensi-agensi terlibat untuk mengawal dan mengambil tindakan sejak awal.

SABRI MANSOR, Pelanggan Genneva Malaysia Sdn. Bhd.

1 comment:

  1. Rasanya syarikat perbankan yg lain cemburu dan BNM x asyuk menyebabkan jadi mcm tu

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...